Pada artikel yang lepas, kita telah berkongsi 3 daripada 6 ramuan terbaik yang boleh meningkatkan sistem imun tubuh bagi menangkis serangan virus. Minggu ini pula dalam bahagian 2 artikel, kita berkongsi 3 ramuan selebihnya iaitu Kekacang, Sayuran Merah dan bahan Tapaian.
Pada masa yang sama, anda juga dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengelakkan daripada menyentuh muka atau makanan tanpa mencuci tangan sebersih-bersihnya terlebih dahulu dan memakai topeng muka jika perlu pergi ke tempat-tempat yang ramai orang. Klik di tajuk ramuan berkenaan untuk melihat resipi-resipi berasaskan ramuan tersebut di Cookpad Malaysia.
Kekacang

Kekacang lazimnya digunakan di dalam masakan dan lebih dilihat sebagai sayur-sayuran. Juga dikenali sebagai legum, jenis kekacang yang biasa digunakan ialah kacang soya, kacang hijau, kacang merah, kacang pis dan kacang tanah. Selain kaya dengan protein, kekacang juga rendah dalam kandungan lemak dan kolestrol serta mempunyai kandungan fiber dan kalsium yang tinggi. Polifenol dan lysine yang terkandung di dalam kekacang juga baik untuk jantung dan daya ketahanan tubuh.
Sayuran Merah

Sayur-sayuran berwarna merah seperti tomato, ubi bit, lada benggala merah, bawang merah dan cili kaya dengan Vitamin C. Antioksidan utama kumpulan makanan ini iaitu antosianin dan karotenoid membantu tubuh melawan pelbagai jenis penyakit seperti kanser prostat, sakit jantung dan strok kerana ianya berupaya menyerap radikal bebas yang merosakkan sel-sel sihat. Likopen yang terkandung di dalam tomato merupakan sejenis karotenoid yang dianggap sebagai adiwira nutrisi.
Tapaian

Sesetengah makanan fermentasi atau tapaian seperti jeruk, kimchi, pes miso, tempe dan yogurt dikira lebih tinggi khasiatnya daripada makanan tersebut dalam bentuk asal. Probiotik yang terhasil semasa proses fermentasi amat bagus untuk kesihatan usus dan boleh membantu masalah percernaan. Kandungan probiotik yang tinggi di dalam makanan tapaian juga membantu menguatkan sistem imun tubuh serta mengurangkan kesan jangkitan. Mengambil makanan tapaian ketika sakit boleh membantu anda pulih dengan lebih cepat. Makanan tapaian juga kaya dengan Vitamin C, zat besi dan zink, yang juga meningkatkan daya ketahanan tubuh badan.
Terdapat banyak lagi ramuan yang memberikan perlindungan pada tubuh badan seperti halia, bawang putih, kunyit, madu dan brokoli. Terdapat pelbagai resipi berasaskan ramuan-ramuan ini di Cookpad Malaysia; hanya klik pada nama ramuan tersebut atau taip nama ramuan yang anda ingini di bar carian aplikasi atau laman web Cookpad Malaysia.
📣 Kami juga menganjurkan Peraduan Resipi Immune Booster Kekacang, Tapaian & Sayur Merah pada minggu ini. Klik di sini untuk maklumat lanjut.
Sumber rujukan:
・ 17 immune-boosting foods to get you through cold and flu season
・ 6 Foods to Eat to Help Prevent the Flu
・ The Lowdown on Fermented Foods
・ Mengenali Kacang dan Kekacang
・ Health Benefits of Legumes
・ Red Foods – The New Health Powerhouses?
・ Benefits of Eating Red Vegetables
Tinggalkan Jawapan