Malaysia baru menyambut kemerdekaan ke-64 dan salah satu tarikan yang membuat Malaysia terkenal di mata dunia ialah MAKANAN MALAYSIA. Tidak boleh dinafikan bahawa Malaysia mempunyai pelbagai jenis makanan dan masakan dan antara negara yang harga makanannya murah dibandingkan dengan negara lain.
Setiap rakyat Malaysia mempunyai ‘Comfort food’ tersendiri dan di sini kami senaraikan 10 resipi yang boleh dicuba sendiri di rumah.
Maggi Goreng
Sebut je Maggi mi, rakyat Malaysia mana yang tak kenal. Salah satu bahan makanan wajib di rumah untuk makanan segera yang tak memakan masa untuk memasak. Pelbagai perasa yang sesuai untuk semua generasi, dimasak sebagai maggi sup atau maggi goreng. Kini ramai yang meminati maggi mi goreng dan cuba untuk meniru cara mamak menggoreng dan ada juga yang mempunyai versi maggi goreng tersendiri.

Roti Canai
Kegemaran semua lapisan masyarakat Malaysia tidak kira kaum dan agama. Ada yang sanggup untuk mempelajari resipi untuk membuat roti canai tapi ada juga yang gemar roti canai segera yang boleh dibeli dari kedai runcit atau pasar raya. Kedua-duanya memberi kepuasan yang sama dan sedap dimakan bila-bila masa.

Nasi Goreng
Nasi adalah pasangan hidup lauk pauk masakan Malaysia dan kekadang banyak lebihan nasi putih, maka lahirlah nasi goreng. Tip penting untuk masak nasi goreng ialah menggunakan nasi putih sejuk dan diolah mengikut citarasa masing-masing. Nasi goreng ialah salah satu resipi mudah bagi seseorang yang baru belajar memasak kerana tiada betul atau salah dengan cara masakan.

Burger Ramly
Nama yang sinonim dengan ‘Street Food’ Malaysia dan salah satu makanan yang murah dan senang untuk didapati di area perumahan, terutamanya pada waktu malam. Resipinya, cukup mudah untuk dibuat di rumah dan bahan-bahan juga senang untuk didapati di kedai runcit atau di pasaraya.

Sambal
Semua semestinya setuju, sambal kena ada dengan nasi putih, nasi goreng atau mi mahupun bihun goreng. Tak sah kalau takde sambal. Terdapat bermacam jenis sambal, terpulang dengan citarasa masing-masing dan pasangan masakan sambal tersebut.

Ayam Goreng Kunyit
Cara menggoreng ayam yang diturunkan dari generasi ke generasi dan menjadi makanan ruji untuk segilintir di antara kita. Sememangnya ayam goreng kunyit membuka selera bila dimakan dengan nasi putih dan sambal belacan.

Tempoyak
Bila musim durian, maka akan ada stok tempoyak di rumah. Ada yang mengemari tempoyak dimasak gulai dan juga yang meminati tempoyak goreng.

Ayam Buttermilk
Rasa kuahnya yang berlemak masin sesuai dengan ayam dan makanan laut. Khususnya Ayam Buttermilk kian menjadi kegemaran ramai. Ada yang suka untuk tambah telur masin ke dalam kuah buttermilk untuk menjadikan rasanya lebih berlemak tapi ada juga yang suka versi kering ayam buttermilk.

Bubur Nasi
Bubur nasi, ‘Comfort Food’ terutamanya bila cuaca sejuk atau bila berasa kurang sihat. Namun begitu, ada yang meminati bubur nasi dan menjadikan bubur nasi sebagai sarapan pagi harian mereka. Ia boleh dimakan kosong dengan bertemankan kicap ataupun dengan variasi lauk.

MILO
Bila sebut MILO mesti teringat zaman kanak-kanak dan memori ‘Truck Milo’ terutamanya bila hari sukan sekolah. Biskut kering Hup Seng menjadi kegemaran untuk dicecah dalam air milo panas untuk sarapan pagi atau minum petang. Sekarang Milo dijadikan sebagai bahan untuk beraneka resipi pencuci mulut.

Ada Malaysia ‘Comfort Food’ anda yang tertinggal? Boleh kongsikan bersama kami ‘Comfort Food’ Malaysia anda dan resipi di Cookpad Malaysia dan juga group Facebook Cookpad Malaysia Community kami.
Tinggalkan Jawapan