Bila sebut Pulut Dakap, apa yang terlintas di fikiran masing- masing? Mesti ada yang teringatkan kedai emas dengan gelang emas Pulut Dakap. 🤠Versi Pulut Dakap ini ialah makanan yang terkenal di Kelantan.
Di negara jiran Thailand, Pulut Dakap dikenali dengan nama Khao Tom yang bermaksud nasi pulut kukus dibalut dengan daun pisang. Terdapat pelbagai jenis Khao Tom tapi Khao Tom Mat Sai Klua yang terkenal di Thailand dan juga yang terkenal di Kelantan.

Khao Tom Mat Sai Klua ialah pulut dakap yang berisi pisang. Berdasarkan tradisi masyarakat Thailand, Khao Tom Mat Sai Klua membawa simbolik pasangan kerana dua bungkus diikat dengan tali bersama menjadi satu seperti pasangan yang disatukan. Melalui tafsiran ini, lahirlah nama Pulut Dakap dalam bahasa Melayu kerana dakap membawa maksud peluk. Bila melihat rupa fizikal Pulut Dakap, dua bungkus pulut yang diikat bersama seakan berpeluk.

Bahan – bahan yang diperlukan untuk membuat pulut dakap ialah pisang, pulut, santan, gula, garam, air, daun pisang dan tali rafia. Pisang raja digemari sebagai bahan utama untuk Pulut Dakap kerana teksturnya yang tak lembik apabila dikukus. Pulut dikukus dengan santan dan ditambah perasa garam dan gula yang secukupnya. Daun pisang dilayurkan terlebih dahulu sebelum digunakan untuk membalut nasi pulut yang berisi pisang. Tali rafia digunakan untuk mengikat dua bungkusan pulut untuk menjadi satu.

Ada yang menyahut cabaran untuk memberi kelainan dengan Pulut Dakap ini dengan mengubah isinya. Yang suka kemanisan dengan pulut boleh gantikan pisang dengan mangga atau seri kaya. Serunding daging juga menjadi pilihan alternatif isi pulut dakap kini. Pulut dakap kosong boleh digunakan untuk menganti ketupat dan lemang, sedap dimakan dengan rendang atau kari.

Tidak kira samada versi asli atau menggunakan isi alternatif lain, resipi Pulut Dakap ini hendaklah dikongsi dengan generasi kini agar tidak pupus ditelan zaman.
Anda ada versi Pulut Dakap anda tersendiri yang ingin anda kongsi bersama kami? Sila kongsikan bersama kami di Cookpad Malaysia dan juga group Facebook Cookpad Malaysia Community kami.
Tinggalkan Jawapan