10 Resolusi Memasak Di Tahun 2022

Di setiap ambang tahun baru, semestinya bertanya kepada diri sendiri atau orang di sekeliling ‘Apakah resolusi atau azam untuk tahun baru?’. Ada yang hanya mempunyai satu resolusi tapi ada juga yang mempunyai senarai resolusi yang panjang berjela.😅 Di Cookpad, soalannya ‘Apakah resolusi memasak anda untuk tahun ini?’.

Tersenarainya di sini resolusi memasak yang dikongsi oleh warga admin Cookpad Malaysia. Semestinya ada yang di luar sana berkongsi resolusi yang sama dan bagus untuk mempunyai teman seperjuangan untuk merealisasikan resolusi tersebut.

  • ‘Sustainable Cooking’

Seperti ‘Sustainable Fashion’ yang menggalakkan para pengguna kitar semula pakaian, ‘Sustainable Cooking’ pula ialah kitar semula makanan yang telah dimasak (lebihan makanan semalam) dijadikan resipi baru yang berbeza. Ini dapat membantu mengurangkan pembaziran makanan dan memberi peluang untuk tukang masak di rumah bereksperimen. Ini merupakan resolusi MinDrey untuk tahun baru ini.

  • Kurangkan pembaziran bahan masakan

MinDrey dan MinKana berkongsi resolusi yang sama iaitu ingin mengurangkan pembaziran bahan masakan terutamanya bahan yang mudah rosak atau reput seperti sayuran. Sering kali berlaku pembaziran bahan masakan terutamanya sayuran kerana kebanyakkan resipi menggunakan kuantiti yang sikit dan lebihan sayuran disimpan di dalam peti sejuk hingga mendapat inspirasi untuk resipi seterusnya yang menggunakan lebihan sayuran tersebut. Tip untuk mengelakkan pembaziran terutamanya sayuran ialah dengan memasak sayur yang mudah rosak terdahulu terutamanya sayuran daun hijau diikuti sayuran berwarna coklat (cendawan), putih (kobis bunga, kobis cina), kuning (labu, jagung), oren (lobak) dan merah (capsicum).

  • Membeli & memasak mengikut bajet

Pasti ramai yang mempunyai budget mingguan atau bulanan untuk membeli bahan masakan tidak kira sama ada bahan kering mahupun bahan basah. Tapi bukan mudah untuk membeli mengikut budget, ada masanya terlebih berbelanja dan melayan nafsu apabila melihat pelbagai bahan masakan di pasar raya atau pasar borong. Kenalah membeli bahan masakan dengan disiplin dan mengikut budget – salah satu tip ialah dengan menyenaraikan bahan masakan kering dan basah dengan harga anggaran agar tidak melebihi budget yang ditetapkan.

  • Memasak makanan sihat dan rendah kalori.

Ini merupakan resolusi MinIta dan semestinya ramai yang berkongsi resolusi yang sama. Terdapat pelbagai resipi hidangan rendah kalori terutamanya dari negara barat yang tidak selalunya menepati citarasa orang kita. Menggunakan kreativiti memasak masing-masing dengan perasa masakan Asia dan teknik masakan yang betul boleh menjadikan masakan sihat rendah kalori ini menjadi lebih sedap dan senang untuk dinikmati.

  • Mencipta resipi masakan 6 bahan atau kurang

Memasak boleh menjadi mencabar untuk para ibu atau bapa yang berkerja atau bagi ibu yang tengah sarat mengandung dan suri rumah tangga di rumah. Ini kerana bukan senang nak memasak mengikut citarasa setiap ahli keluarga dalam masa yang singkat terutamanya untuk makan malam. MinSha ingin mencipta lebih banyak resipi masakan menggunakan 6 bahan atau kurang supaya masa memasak di dapur dapat disingkatkan dan lebih banyak masa menikmati makanan yang disediakan dengan ahli keluarga.

  • Memasak resipi rendah karbohidrat

Ada segilintir yang ingin memasak resipi kandungan rendah karbohidarat disebabkan oleh masalah kesihatan atau para ibu mengandung yang disarankan oleh para doktor atau peminat gim/fitness yang ingin manjaga rupa fizikal mereka. Memasak masakan rendah karbohidrat juga boleh menjadi satu cabaran kerana salah satu sumber karbohidrat penting bagi Asia ialah nasi dan kebanyakkan lauk masakan Asia dimasak untuk dimakan dengan nasi. Satu cara untuk mengawal pengambilan karbohidrat dengan mencari alternatif karbohidrat yang sihat seperti nasi atau pasta beras perang, keledek oren, oat dan quinoa.

  • Sayur di dalam setiap hidangan

MinMocque di tahun 2022 ini, ingin memastikan terdapat sayur di dalam setiap hidangan. Ini boleh dijadikan resolusi bagi golongan yang tak berapa minat makan sayur dan kanak-kanak. Sayur merupakan sumber vitamin yang penting bagi badan dan banyak membantu pencernaan serta mengurangkan masalah sembelit. Disyorkan satu cawan atau segenggam sayur di setiap hidangan untuk dijadikan tabiat pemakanan yang sihat.

  • Satu hidangan atau resipi baru setiap minggu

Ada yang suka cabaran dan di tahun baru ini menjadikan resolusi mereka sebagai cabaran kepada diri sendiri seperti Becky dan MinKana. Keduanya ingin mencuba memasak hidangan dari negara lain atau resipi baru sekurang-kurangnya seminggu sekali. Ini kerana memasak boleh menjadi rutin yang membosankan dan sering kali memasak hidangan yang sama. Dengan adanya cabaran ini, ia akan membolehkan seseorang itu untuk ‘step out of comfort zone’. Untuk yang ingin mencapai resolusi ini, senaraikan 52 resipi baru yang ingin dicuba dan dibahagikan kepada kategori masakan ayam atau daging, ikan, sayuran, nasi atau pasta dan pemanis mulut. Tetapkan hari untuk memasak dan pilih salah satu resepi sehari sebelum untuk membeli bahan-bahan. Kongsikan hasil masakan dengan ahli keluarga atau kawan-kawan.

  • Bereksperimen dengan bahan masakan bermusim

Pasti ada yang tertunggu-tunggu musim durian atau cempedak atau bahan masakan bermusim yang lain setiap tahun. Kenali bahan masakan bermusim di daerah atau negeri masing-masing dan sediakan resipi yang ingin dicuba bila tiba musim nanti. Inilah masanya untuk bereksperimen dengan bahan masakan bermusim dan teknik masakan baru/lain. Boleh juga dijadikan cabaran memasak di kalangan ahli keluarga atau rakan-rakan untuk membangkitkan motivasi memasak.

  • Memasak sebagai rutin harian

Seperti ramai yang tahu, misi Cookpad ialah ‘Make Everyday Cooking Fun’. Langkah pertama ke arah misi ini ialah dengan menjadikan memasak sebagai rutin harian. Sebolehnya, memasak sekurang-kurangnya satu hidangan sehari di rumah. Bila aktiviti memasak di rumah menjadi konsisten, akan terserlah impak positif seperti kurangnya masalah kesihatan, penjimatan duit perbelanjaan dan lebih banyak masa berkualiti diluangkan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Tahun baru sememangnya memberi semangat baru kepada ramai orang. Kejadian lepas dijadikan kenangan dan pedoman hidup, sama juga seperti kesilapan memasak di dapur dijadikan pengajaran. Di tahun 2022, tetapkan resolusi memasak anda dan berpegang teguh kepada resolusi itu hingga 31 Disember 2022. Admin Cookpad Malaysia sentiasa ada untuk menyokong dan menemani anda untuk merealisasikan resolusi memasak 2022 di Cookpad Malaysia dan juga group Facebook Cookpad Malaysia Community kami. 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: