Berbuka Puasa dengan Makanan Sunnah

Bulan Ramadan ialah bulan yang penuh keberkatan. Dalam bulan yang mulia ini, umat Islam berlumba-lumba mengejar pahala yang berlipat ganda dengan memperbaiki dan mempertingkatkan amalan, baik yang wajib mahupun yang sunnah.

Salah satu cara mudah untuk mendapatkan pahala ialah mengambil makanan sunnah. Makanan sunnah ialah makanan kegemaran Nabi Junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W. ketika hayatnya. Dengan mengambil makanan sunnah sama seperti yang pernah diambil Rasullullah S.A.W., kita juga boleh beroleh pahala. Bukan itu sahaja, makanan sunnah juga dikatakan mempunyai khasiat yang tinggi dan sangat bagus untuk tubuh badan.

Tahun ini, apa kata kita berbuka puasa dengan makanan sunnah untuk pahala berganda dan juga kesihatan? Terdapat banyak makanan sunnah yang diambil oleh Rasullullah semasa hayat Baginda, tetapi untuk artikel minggu ini, kita persembahkan 10 makanan sunnah yang boleh digunakan dalam penyediaan hidangan berbuka nanti.

1. Kurma

Buah kurma sinonim sebagai pembuka tirai ketika berbuka puasa bagi umat Islam di seluruh dunia. Kecil tetapi penuh khasiat dan mengenyangkan, buah kurma kaya dengan vitamin, mineral, serat dan dikatakan mengandungi 23 jenis asid amino yang mana sebahagiannya tidak ditemui dalam kebanyakan buah-buah popular seperti epal, oren dan pisang. Selain daripada itu, buah kurma juga adalah sumber tenaga asli yang baik untuk tubuh badan. Susu kurma merupakan salah satu minuman yang paling popular ketika Ramadan.

Lihat resipi-resipi berasaskan KURMA

2. Madu

Khasiat madu lebah sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Selain kaya dengan antioksidan yang melindungi sel-sel tubuh badan daripada radikal bebas, madu juga merupakan sejenis antikuman semulajadi yang mampu membunuh bakteria, fungus dan protozoa. Seperti buah kurma, madu juga merupakan sumber tenaga asli yang baik untuk tubuh badan. Madu lazimnya digunakan di dalam minuman dan manisan.

Lihat resipi-resipi berasaskan MADU

3. Delima

Buah delima bukan sahaja mengandungi asid folat, serat, kalium, niasin, antioksidan dan potassium yang tinggi, tetapi juga sebiji buah delima dikatakan mampu membekalkan sehingga 40% keperluan harian Vitamin C untuk orang dewasa. Rasanya yang manis sesuai dijadikan ramuan dalam minuman dan pencuci mulut. Ia bukan sahaja bagus untuk kesihatan organ dalaman seperti jantung dan buah pinggang, tetapi juga dikatakan “ubat” awet muda yang sangat mujarab!

Lihat resipi-resipi berasaskan DELIMA

4. Habbatus Sauda

Habbatus sauda atau juga dikenali sebagai jintan hitam ialah sejenis makanan sunnah yang dikatakan mampu menyembuhkan pelbagai penyakit. Selain meningkatkan sistem imun tubuh badan, ia juga bersifat anti-radang, anti-mikrobial dan anti-tumor. Habbatus sauda boleh dicampurkan terus ke dalam minuman atau masakan atau ditaburkan sahaja ke atas hidangan.

Lihat resipi-resipi berasaskan HABBATUS SAUDA

5. Minyak Zaitun

Minyak zaitun mempunyai kandungan Vitamin E yang sangat tinggi, dan juga antioksidan yang berupaya melindungi tubuh daripada radikal bebas. Ia juga dikatakan mampu menurunkan kadar kolestrol di dalam darah dan mencegah dari pelbagai penyakit dalaman seperti diabetes, kanser, Alzheimer dan batu karang. Selain daripada itu, khasiat minyak zaitun juga banyak dimanfaatkan untuk tujuan kecantikan. Minyak zaitun lazimnya dicicah dengan roti atau dilumur pada ikan dan daging sebelum dibakar atau dipanggang.

Lihat resipi-resipi berasaskan MINYAK ZAITUN

6. Timun

Timun ialah sejenis sayur yang lazim ditemui di negara kita, tetapi tidak ramai yang sedar akan khasiatnya. Rasanya yang sejuk dan menyegarkan amat sesuai dijadikan minuman atau ulam. Kandungan air di dalam timun juga adalah tinggi iaitu lebih daripada 90%, jadi ia mampu menghidratkan kembali tubuh badan yang lesu dan kekurangan air serta menyingkirkan toksin dalam tubuh badan. Timun juga kaya dengan nutrisi, serat dan antioksidan.

Lihat resipi-resipi berasaskan TIMUN

7. Anggur

Anggur datang dalam pelbagai warna – ada yang hijau, merah, ungu dan hitam, setiap satunya dengan khasiatnya yang tersendiri. Secara amnya, anggur ialah sejenis buah-buahan yang kaya dengan nutrisi terutamanya Vitamin C dan K, dan juga mempunyai nilai antioksidan yang tinggi terutama sekali pada kulitnya dan bijinya. Ia juga mampu merangsang sistem imun tubuh badan dan baik untuk kesihatan jantung. Anggur seringkali dijadikan bahan dalam minuman dan manisan.

Lihat resipi-resipi berasaskan ANGGUR

8. Susu Kambing

Tidak ramai yang menggemari susu kambing kerana baunya yang sedikit hamis. Tetapi hakikatnya susu kambing mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding susu lembu. Susu kambing kaya dengan kalsium, magnesium, oligosakarida dan Vitamin D yang berupaya meningkatkan ketahanan tubuh badan. Sifatnya yang mudah dihadam dan kandungan laktosanya yang rendah juga menjadikannya alternatif yang paling ideal untuk mereka yang mempunyai masalah intoleransi laktosa atau perut sensitif.

Lihat resipi-resipi berasaskan SUSU KAMBING

9. Labu

Rasa labu yang lemak manis sesuai dijadikan pencuci mulut dan penyedap masakan. Labu kaya dengan serat yang melancarkan penghadaman, serta pelbagai nutrisi termasuk beta karoten, antioksidan, zat besi, vitamin, fosfor, lutein dan natrium. Nutrien yang terdapat di dalam buah labu bagus untuk kesihatan mata, melancarkan darah dan meningkatkan sistem imun tubuh badan.

Lihat resipi-resipi berasaskan LABU

10. Barli

Barli bukan sahaja enak dijadikan bubur atau minuman, tetapi juga berupaya menyejukkan tubuh badan, jadi ia amat sesuai dimakan ketika demam atau cuaca panas. Kaya dengan fiber, vitamin dan mineral, barli juga mengandungi beta-glucan yang dikatakan mampu menurunkan paras kolestrol di dalam darah. Kandungan tokotrienol dan tokoferol yang tinggi di dalam barli pula dikatakan mampu mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung.

Lihat resipi-resipi berasaskan BARLI

Makanan sunnah yang manakah menjadi pilihan anda terutama sekali untuk berbuka puasa? Kongsikannya dengan kami di ruangan komen! Jika anda ada resipi berasaskan makanan sunnah, kongsikannya dengan kami di Cookpad!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: