Hidangan Sahur Mudah & Mengenyangkan

Sahur adalah waktu yang paling penting ketika bulan Ramadan kerana ia seperti waktu sarapan bagi mereka yang berpuasa. Apa yang dimakan ketika sahur memastikan tubuh badan kita kekal bertenaga pada siang harinya.

Sahur hukumnya sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut. Tetapi tidak kurang juga yang memilih untuk tidak bangun sahur kerana rasa mengantuk menguasai segalanya, dan perkara terakhir yang ingin dilakukan pada waktu itu ialah bangun untuk makan. Memandangkan umat Islam digalakkan melewatkan waktu bersahur, apa kata tahun ini kita bangun bersahur untuk meraih pahala tambahan tanpa perlu meluangkan banyak masa menyediakan hidangan bersahur? Ada banyak resipi yang boleh disediakan dalam masa kurang dari 10 minit yang boleh kita cuba.

Untuk menjimatkan masa dan tenaga menyediakan hidangan sahur, anda boleh masak awal sebelum tidur atau memanaskan semula lauk berbuka malam sebelumnya. Atau anda boleh menyediakan hidangan yang tidak mengambil banyak masa tetapi masih mampu membekalkan tenaga kepada tubuh badan dalam jangka masa yang panjang. Berikut adalah 10 hidangan sahur yang mudah disediakan dan berkhasiat untuk membantu anda kekal bertenaga sepanjang hari di bulan puasa.

1. Wanpaku Sandwich

Wanpaku Ayam Telur Mata oleh Nor Zahida Aini

Wanpaku sandwich ialah sejenis sandwich yang berasal dari Jepun yang pernah viral satu ketika dahulu di Malaysia. Lebih tebal dan lebih berkhasiat berbanding sandwich biasa, wanpaku menggunakan lebih banyak bahan-bahan di dalamnya, yang diapit dengan dua keping roti sandwich dan dibalut kemas sebelum dipotong agar isinya tidak terburai dan lebih senang untuk dimakan. Anda boleh letak apa sahaja di dalamnya, tetapi wanpaku lazimnya mengandungi sayuran dan sumber protein di dalamnya.

Lihat resipi-resipi Wanpaku Sandwich

2. Overnight Oat

Crunchy Nutty Dragon Fruit Overnight oleh Leeina Qaliena

Oat adalah bijirin yang bukan sahaja mengenyangkan tetapi mengandungi pelbagai khasiat. Kandungan fiber, vitamin, mineral dan antioksidan yang terdapat di dalamnya membantu merendahkan kandungan gula dan kolestrol di dalam tubuh badan, dan amat bagus untuk kesihatan jantung. Selain daripada itu, oat juga rendah kalori dan membantu mengurangkan kandungan lemak di dalam badan jadi ia juga sesuai untuk mereka yang berdiet. Anda boleh meletak apa sahaja yang anda suka di dalamnya – buah, kekacang, bijirin – tuangkan susu dan simpan di dalam peti sejuk semalaman. Apabila tiba waktu sahur, anda hanya perlu keluarkan dan nikmati.

Lihat resipi-resipi Overnight Oat

3. Smoothie Pisang

Smoothie Pisang dan Oat oleh Azwansweetdream

Pisang adalah buah yang tinggi kandungan serat dan potassium, jadi ia mampu memberikan rasa kenyang yang berpanjangan. Jika anda jenis yang tidak lalu makan di awal pagi, anda boleh buat smoothie pisang sahaja. Anda juga boleh menambahkan pelbagai jenis buah, sayuran dan bijirin ke dalam smoothie pisang anda untuk lebih khasiat dan keenakan. Hanya masukkan semuanya ke dalam mesin pengisar, kisar untuk beberapa saat dan tuang ke dalam gelas. Simple!

Lihat resipi-resipi Smoothie Pisang

4. Nasi Goreng

Nasi Goreng Telur Bawang Putih oleh Nurul Kefftya

Nasi goreng sememangnya hidangan nasi yang paling ringkas tetapi paling mengenyangkan. Anda boleh letak pelbagai sumber protein dan sayur ke dalamnya untuk nasi goreng yang lebih berkhasiat dan enak, atau anda boleh sahaja buat apa yang dipanggil “nasi goreng bodoh” iaitu nasi goreng yang menggunakan bahan-bahan paling minimum seperti telur dan cili. Untuk mengelakkan nasi goreng yang benyek dan berketul, gunakan nasi sejuk. Anda boleh masak nasi sebelum masuk tidur atau guna sahaja lebihan nasi waktu berbuka sebelumnya.

Lihat resipi-resipi Nasi Goreng

5. Pasta Goreng

Makaroni Goreng Simple oleh CookWithLove

Pasta lebih mengenyangkan berbanding mee dan bihun. Adalah lebih elok jika anda menggunakan pasta wholemeal kerana karbohidrat kompleks lebih berupaya mengekalkan rasa kenyang dengan lebih lama. Tidak kira sama ada anda menggunakan spaghetti atau makaroni, teknik membuat pasta goreng sama seperti nasi goreng atau mee goreng, di mana anda bebas untuk meletak apa sahaja di dalamnya. Gunakan pasta yang sejuk yang telah direbus terlebih dahulu malam sebelumnya.

Lihat resipi-resipi Pasta Goreng

6. Wrap

Wrap Tuna Rendah Lemak Rendah Kalori oleh Nihadriz Niha

Wrap boleh didapati hampir di mana sahaja dan sejenis makanan yang sihat, sedap dan mengenyangkan. Untuk rasa kenyang yang lebih berpanjangan, gunakan wrap wholemeal. Seperti wanpaku sandwich, anda boleh mengisinya dengan apa sahaja bahan yang anda suka, seperti avokado, sayuran, ayam dan telur. Selepas isinya diletak di atasnya, hanya gulungkannya dan potong dua, atau anda boleh sahaja melipatnya kepada dua atau empat bahagian.

Lihat resipi-resipi Wrap

7. Telur Bistik

Telur Bistik oleh Nor Al Fatihah

Enak dimakan bersama nasi panas, telur bistik ialah hidangan kegemaran zaman-berzaman yang mudah, cepat lagi menyelerakan yang boleh dimasak dalam masa lima minit sahaja. Anda boleh letak apa sahaja di dalam sosnya yang kemudian dicurahkan ke atas telur dadar, lazimnya ayam dan sayur campur seperti lobak merah, jagung dan kacang pis.

Lihat resipi-resipi Telur Bistik

8. Kentang Putar

Mashed Potato oleh Muniroh Annuar

Kentang putar amat mudah disediakan dan digemari oleh semua lapisan umur, terutama sekali kanak-kanak, jadi jika anda ingin menggalakkan anak-anak bangun sahur, anda boleh cuba menghidangkannya. Walaupun simple tetapi rasanya tetap enak dan mengenyangkan. Anda boleh rebuskan dulu kentang dan simpan dalam peti sejuk pada malam sebelumnya untuk menjimatkan masa. Selain daripada sos lada hitam, kentang putar juga boleh ditambah cebisan ayam, daging atau sayuran.

Lihat resipi-resipi Kentang Putar

9. Susu Kurma

Susu Kurma Sukma Rindu oleh Master Jamal

Seperti smoothie, susu kurma boleh diambil oleh mereka yang tidak gemar makan awal pagi. Hanya masukkan susu dan kurma ke dalam mesin pengisar dan kisar untuk beberapa saat sebelum dituang ke dalam gelas dan diminum. Anda boleh menggunakan susu panas atau susu sejuk. Kurma adalah makanan sunnah yang mengenyangkan kerana ia mempunyai kandungan serat yang tinggi. Untuk pemakanan sunnah berganda, gunakan susu kambing. Untuk mereka yang vegan atau tidak gemarkan susu haiwan, anda boleh menggunakan susu oat atau susu badam.

Lihat resipi-resipi Susu Kurma

10. Granola

Homemade Granola oleh Irar

Granola ialah sejenis makanan yang lazimnya diambil waktu sarapan. Ia terdiri daripada oat gulung, kekacang, madu atau gula perang, dan lain-lain bahan sihat seperti kismis dan pelbagai biji benih, yang dibakar sehingga garing dan keemasan. Ia boleh dimakan begitu sahaja, atau dinikmati dengan dadih, salad atau buah-buahan. Anda juga boleh menuang susu sejuk ke atasnya seperti bijirin sarapan. Granola kaya dengan nutrisi dan serat, dan mampu membekalkan tenaga yang berpanjangan kepada tubuh badan.

Lihat resipi-resipi Granola

Anda ada resipi bersahur yang mudah dan cepat disediakan namun mengenyangkan sepanjang hari? Kongsikannya dengan kami di Cookpad Malaysia! Jika anda mahu melihat resipi-resipi paling popular bagi setiap hidangan sahur termasuk yang di atas, pastikan anda tidak lepaskan peluang mencuba Cookpad Premium secara percuma selama tiga bulan, khas untuk Ramadan 2022!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: