Hidupkan Nostalgia dengan Kuih Raya Tradisi

Selain daripada ketupat, rendang dan lemang, kuih raya semestinya sinonim dengan Hari Raya Aidilfitri. Ia merupakan salah satu benda yang wajib ada ketika Hari Raya di Malaysia untuk dihidangkan buat tetamu yang berkunjung ke rumah.

Kuih raya zaman sekarang datang dalam pelbagai rupa, rasa dan nama. Ada beribu-ribu jenis kuih raya yang boleh didapati pada masa ini. Namun bagi kebanyakan daripada kita, kuih raya tradisional tetap mendapat tempat di hati, terutamanya yang membesar dengan kuih-kuih raya tradisional ini.

Setelah 2 tahun kita tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan sempurna, apa kata untuk Aidilfitri tahun ini kita cipta kelainan dengan menghidupkan kembali tradisi? Selain daripada rasanya yang tidak lapuk ditelan zaman, kita juga boleh memperkenalkan semula kuih-kuih raya tradisi ini kepada golongan muda mudi yang mungkin tidak pernah menjamahnya.

Berikut adalah 10 kuih raya tradisi yang boleh anda buat untuk Hari Raya tahun ini:

1. Kuih Makmur

Kuih Makmur lazimnya menggunakan minyak sapi, tetapi pada masa ini terdapat banyak resipi kuih makmur yang hanya menggunakan mentega. Kuih ini juga menggunakan kacang tanah yang dikisar halus dan disaluti gula ising. Rasanya sangat gebu dan cair di dalam mulut.

Lihat resipi-resipi Kuih Makmur

2. Kuih Bangkit

Kuih Bangkit diperbuat daripada tepung ubi dan tepung sagu. Ia mempunyai bau yang sangat harum dengan tekstur rangup dan rapuh tetapi cair di dalam mulut apabila memakannya. Kuih Bangkit Cheese adalah versi moden kuih bangkit yang agak popular pada masa ini.

Lihat resipi-resipi Kuih Bangkit

3. Dodol

Diperbuat daripada tepung pulut, Dodol mempunyai rasa yang manis dan tekstur yang kenyal. Cara tradisional memasaknya sangat renyah kerana ia mengambil masa berjam-jam dan memerlukan tenaga yang banyak kerana dodol yang dimasak di dalam kawah besar harus sentiasa dikacau untuk memastikan ia masak sempurna dan cantik teksturnya. Pada zaman sekarang, dodol boleh dimasak hanya dengan menggunakan breadmaker. Tetapi hati-hati memakannya jika anda memakai gigi palsu!

Lihat resipi-resipi Dodol

4. Wajik

Juga dikenali sebagai Pulut Kacau atau Pulut Manis, Wajik diperbuat daripada beras pulut, santan dan gula. Ia mempunyai tekstur yang melekit dan sedikit kenyal, tetapi rasanya yang lemak manis mampu menambat hati sesiapa sahaja yang berani mencubanya.

Lihat resipi-resipi Wajik

5. Semperit

Diperbuat daripada tepung gandum, tepung jagung dan tepung kastard, semperit ialah kuih raya kegemaran zaman-berzaman yang mempunyai ramai peminat hingga ke hari ini. Teksturnya yang rapuh dan cair di mulut mampu memikat hati sesiapa sahaja yang merasainya. Lazimnya semperit boleh didapati dalam dua bentuk – bentuk bunga (juga dikenali sebagai Semperit Dahlia) dan juga bentuk empat segi tepat.

Lihat resipi-resipi Semperit

6. Bahulu

Bahulu diperbuat daripada tepung gandum, telur dan gula. Ia lazimnya dibakar di dalam acuan besi berbentuk bunga. Pada zaman dahulu, kuih bahulu dibakar menggunakan sabut dan kayu api, yang memberikan rasa “asap” yang sedap dan bau yang harum pada kuih. Untuk mendapatkan tekstur yang lembut dan gebu di dalam tetapi garing di luar, tepung gandum disangai terlebih dahulu dan adunan bahulu dipukul dalam tempoh yang lama iaitu lebih kurang dua jam.

Lihat resipi-resipi Bahulu

7. Kuih Siput

Dibuat daripada tepung gandum, telur, marjerin, udang kering dan pelbagai rempah ratus, kuih siput boleh menimbulkan ketagihan pada sesiapa yang merasanya buat pertama kali. Rangup dan rapuh, kuih siput digentel satu-persatu menggunakan tangan bagi menghasilkan bentuk “siput”.

Lihat resipi-resipi Kuih Siput

8. Biskut Mazola

Juga dikenali sebagai Biskut Kacang, Biskut Mazola hanya menggunakan empat bahan sahaja iaitu tepung gandum, gula ising, kacang tanah dan minyak jagung. Rasanya sangat rapuh dan berderai di dalam mulut apabila digigit. Cara membuatnya juga tidak serumit kuih-kuih raya tradisi yang lain.

Lihat resipi-resipi Biskut Mazola

9. Biskut Sarang Semut

Biskut Sarang Semut juga sejenis biskut yang rapuh dan berderai di dalam mulut apabila memakannya. Cara membuatnya juga agak mudah kerana adunannya boleh dipukul dengan senduk kayu sahaja dan tidak perlu dipukul lama. Dohnya perlu diparut untuk menghasilkan tekstur yang halus seakan sarang semut.

Lihat resipi-resipi Biskut Sarang Semut

10. Kuih Ros

Kuih Ros juga dikenali sebagai Kuih Loyang, Kuih Goyang atau Kuih Bunga Durian. Ia mempunyai tekstur yang rangup, rapuh dan sedikit manis. Lazimnya acuan tembaga digunakan untuk membentukkan kuih ini dan acuannya dicelup terlebih dahulu ke dalam minyak panas sebelum dicelup ke dalam adunan kuih bagi menghasilkan kuih yang cantik bentuknya dan senang dikeluarkan daripada acuan apabila telah masak.

Lihat resipi-resipi Kuih Ros

Bagaimana pula dengan anda? Kuih raya apakah yang bakal anda hidangkan tahun ini? Adakah ia termasuk kuih-kuih yang terpapar di laman ini? Beritahu kami di ruangan komen artikel ini. Jika anda ada resipi-resipi kuih raya tradisional warisan turun temurun, kongsikannya bersama kami di Cookpad Malaysia!

Nota Kaki: Gambar hiasan utama milik Aznie Khasri.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: