Hidangan Hari Raya Popular 13 Negeri

Kita sudah berada di penghujung Ramadan. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum kita menyambut ketibaan Syawal yang menandakan berakhirnya bulan puasa dan bermulanya Hari Raya Aidilfitri.

Hari Raya Aidilfitri tahun ini pasti meriah setelah dua tahun rakyat Malaysia bertapa di rumah masing-masing dengan pelaksanaan PKP yang ketat. Tahun ini ialah tahun pertama kita semua boleh merentas negeri dan pulang ke kampung halaman masing-masing setelah sekian lamanya.

Antara persediaan Hari Raya semestinya menu yang bakal dimasak nanti. Lain negeri, lain juadah hari rayanya. Bagi sesiapa yang ingin mencuba sesuatu yang berlainan dengan apa yang biasa dihidangkan untuk hari raya tahun ini, jom tinjau 13 hidangan utama Hari Raya Aidilfitri bagi setiap negeri di Malaysia.

1. Perlis: Ketupat Palas

Pada zaman dahulu, ketupat palas yang berasal dari Perlis hanya boleh didapati di negeri-negeri belah utara iaitu Kedah dan Perlis, dan negeri-negeri belah Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu. Namun kini, ketupat palas semakin popular di kalangan rakyat Malaysia tidak kira di mana sahaja. Berbeza dengan ketupat nasi, kelongsong ketupat palas dibuat daripada daun palas dalam bentuk segi tiga dan diisi dengan beras pulut.

Lihat resipi-resipi Ketupat Palas

2. Kedah: Nasi Daging Utara

Hidangan popular negeri Kedah ini juga semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia tidak kira dari mana asal mereka. Daging direbus terlebih dahulu sehingga empuk dan juadah ini biasanya dihidangkan bersama air asam. Dengan perkakas moden yang boleh didapati di kebanyakan dapur pada masa ini seperti pressure cooker dan periuk nasi elektrik, memasak nasi daging lebih mudah dan cepat.

Lihat resipi-resipi Nasi Daging Utara

3. Penang: Laksa Penang

Antara hidangan yang wajib ada di atas meja orang Penang semasa Hari Raya. Laksa Penang ialah resipi asal Cina Peranakan. Keistimewaannya sudah tentu terletak pada kuahnya yang pekat, harum dan penuh berperisa yang menggunakan ikan kembung segar, daun kesum dan bunga kantan. Elok kejadian kuahnya, eloklah kejadian laksanya.

Lihat resipi-resipi Laksa Penang

4. Perak: Rendang Tok

Rendang Tok ialah sejenis rendang kering yang dipercayai berasal dari istana-istana zaman silam. Bezanya rendang ini dengan rendang yang lain ialah dagingnya diperap terlebih dulu dengan pelbagai rempah ratus, menghasilkan daging yang lebih empuk dan lebih berperisa. Lebih lama diperap, lebih sedap rendangnya.

Lihat resipi-resipi Rendang Tok

5. Selangor: Rendang Ayam

Untuk masyarakat Selangor dan Kuala Lumpur, rendang ayam seringkali menjadi pilihan juadah utama di pagi raya. Lazimnya dimakan bersama ketupat nasi atau nasi impit, dan kuah kacang. Memasaknya agak renyah kerana mengambil masa yang agak lama dan perlu sentiasa dikacau, tetapi kesedapan yang terhasil sangat berbaloi. Rendang ayam boleh dibuat kering atau berkuah.

Lihat resipi-resipi Rendang Ayam

6. Negeri Sembilan: Rendang Minang

Hidangan popular Negeri Sembilan ini agak pedas berbanding rendang jenis lain kerana ia menggunakan cili padi. Resipi yang berasal dari Padang, Indonesia ini lazimnya dimakan dengan lemang, juga sejenis hidangan raya tradisi Negeri Sembilan.

Lihat resipi-resipi Rendang Minang

7. Melaka: Dodol

Dodol ialah manisan kenyal yang diperbuat daripada gula melaka. Di kawasan desa, kebanyakan dodol masih dibuat menggunakan kaedah lama iaitu mengacaunya di dalam kawah besar selama beberapa jam sehingga adunan menjadi likat. Namun di kawasan bandar, dodol boleh dihasilkan tanpa menggunakan banyak tenaga dan masa dengan adanya perkakas moden seperti breadmaker.

Lihat resipi-resipi Dodol

8. Johor: Laksa Johor

Bezanya Laksa Johor dengan laksa yang lain ialah berbanding laksa negeri lain yang menggunakan mee laksa, Laksa Johor menggunakan spaghetti sebagai salah satu bahan utamanya. Kuahnya juga pekat dan lebih menyerupai kari berbanding laksa negeri lain. Laksa Johor original juga menggunakan ikan parang dan bukannya ikan kembung seperti laksa di negeri lain.

Lihat resipi-resipi Laksa Johor

9. Pahang: Puding Raja

Juga dikenali dengan nama Puding Istana, Puding Diraja asalnya merupakan santapan khas kerabat diraja Pahang. Ia diperbuat daripada pisang lemak manis, susu, buah prun, ceri dan kekacang, menghasilkan hidangan pencuci mulut yang lemak manis dan penuh berkrim.

Lihat resipi-resipi Puding Raja

10. Terengganu: Nasi Dagang

Nasi Dagang ialah hidangan yang sinonim dengan negeri Pantai Timur khususnya Terengganu dan Kelantan. Terdapat perbezaan di antara nasi dagang Terengganu dengan nasi dagang Kelantan di mana nasi dagang Terengganu menggunakan campuran beras siam dan beras pulut yang dikukus dengan santan kelapa dan halba, manakala nasi dagang Kelantan pula menggunakan sejenis beras yang dipanggil beras dagang. Nasi dagang Terengganu lazimnya dihidangkan dengan gulai ikan tongkol yang dibuat menggunakan rempah khas.

Lihat resipi-resipi Nasi Dagang

11. Kelantan: Ketupat Sotong

Ketupat sotong diperbuat daripada campuran beras pulut dan santan yang disumbat ke dalam sotong segar dan dihidangkan bersama kuah manis yang diperbuat daripada gula melaka dan santan. Rasanya yang lemak manis mampu menambat selera sesiapa yang mencubanya. Beza ketupat sotong Kelantan dengan ketupat sotong Terengganu ialah ketupat sotong Kelantan berwarna perang kerana menggunakan gula melaka, manakala ketupat sotong Terengganu yang tidak menggunakan gula melaka dan dimasak dengan halba berwarna putih.

Lihat resipi-resipi Ketupat Sotong

12. Sarawak: Kek Lapis Sarawak

Kek Lapis Sarawak boleh didapati di hampir semua rumah di Sarawak ketika musim perayaan, khususnya hari raya. Cara pembuatannya agak renyah, di mana setiap lapisan kek ini dibakar satu-persatu dan mengambil masa berjam-jam untuk menyiapkannya. Resipi Kek Lapis Sarawak dikatakan diilhamkan oleh resipi Kek Lapis Betawi dari daerah Betawi, Indonesia, dan telah diubahsuai dari segi bahan, corak dan warna yang menghasilkan Kek Lapis Sarawak dengan pelbagai warna dan perisa yang dikenal ramai ketika ini.

Lihat resipi-resipi Kek Lapis Sarawak

13. Sabah: Burasak

Burasak oleh Ahlia Syed Firdaus

Juga dikenali dengan nama Buras, Burasak ialah hidangan tradisi kaum Bugis yang diperbuat daripada beras dan santan dan dibungkus di dalam daun pisang yang diikat kemas sebelum direbus selama sekurang-kurangnya empat jam. Sebagaimana tidak lengkapnya hari raya bagi masyarakat Semenanjung tanpa ketupat dan lemang, hari raya dianggap tidak lengkap bagi masyarakat Bugis tanpa burasak.

Lihat resipi-resipi Burasak

Anda ada resipi Hari Raya Aidilfitri yang mudah, cepat dan sedap? Kongsikannya dengan kami di Cookpad Malaysia agar yang lain boleh mencubanya! Jika anda mahu melihat resipi-resipi paling popular bagi hidangan hari raya termasuk yang di atas, pastikan anda tidak lepaskan peluang mencuba Cookpad Premium secara percuma selama tiga bulan, khas untuk Ramadan 2022! Cepat! Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum tawaran istimewa ini tamat!

2 thoughts on “Hidangan Hari Raya Popular 13 Negeri

Add yours

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: