Bila bercakap pasal ikan, banyak yang merungut. Lecehlah nak siang ikan, bau hanyir, meletop-letop bila digoreng…ada yang mengganguk kepala ni.🤭 Memang tak senang nak bersihkan dan siang ikan sebab itu kebanyakan penjual ikan sama ada di pasar ikan atau di pasaraya besar akan menawarkan perkhidmatan untuk tolong membersihkan dan siangkan ikan untuk para pembeli.
Terdapat beberapa tips yang dikongsikan oleh para Cookpaders yang terbukti berjaya bagi mereka. Sesimple Loralin berkongsi tips buang sisik ikan supaya tak terpecik merata. Boleh dicuba tips ini untuk ikan siakap atau ikan kerapu.

Bila dah berjaya buang sisik ikan siakap, terbalikkan ikan dan dengan menggunakan pisau yang tajam untuk mengeluarkan tulang ikan dengan menoreh tulang ikan dari bahagian insang hingga ke ekor. Salah satu cara untuk menggoreng ikan tanpa tulang dan teknik ini dipanggil ikan siakap terbang kerana ikannya seumpama mempunyai sayap seperti yang dikongsi oleh yatiefy dalam resipinya, Ikan Siakap Terbang Goreng.

Elley ana berkongsi tip untuk menggoreng ikan agar garing dan tak melekat dengan memasukkan 2,3 asam keping ke dalam minyak panas sebelum memasukkan ikan untuk digoreng.

Antara resipi yang digemari dengan ikan siakap atau ikan kerapu ialah resipi ikan 3 rasa. Ikan disalut dengan serbuk kunyit dan kemudian disalut dengan campuran tepung sebelum digoreng hingga keemasan. Kuah 3 rasa dibuat dari campuran cili kisar dengan sos cili, sos tomato dan sos tiram seperti resipi Kerapu Bara Tiga Rasa oleh Sesimple Loralin.
Bagi yang takut menggoreng ikan, boleh cuba resipi Bawal Emas Stim Chinese Style yang dikongsi oleh Azizah Mansor. Ikan bawal ialah salah satu ikan tanpa sisik dan senang untuk didapati di pasar. Ia juga senang dimakan oleh semua golongan umur kerana kurang tulang dan isinya manis. Terdapat 3 jenis ikan bawal – bawal putih, bawal emas dan bawal hitam. Dijual pada harga berpatutan, RM 9-RM15 seekor.

Ikan tenggiri sering kali dijual di pasar dalam saiz hirisan dan ini menyenangkan proses pembelian mengikut keperluan para pembeli. Senang untuk dimakan kerana tidak banyak tulang halus. FZ Adzlin menggunakan hirisan ikan tenggiri untuk resipi Kari Utara Ikan Tenggiri. Ala-ala kari ikan di kedai mamak gitu…nampak menyelerakan.

Sejenis ikan yang juga selalu dijual secara potongan ialah ikan pari. Dijual di pasaran dengan harga RM4-6 untuk 100g. Kegemaran ramai untuk memasak asam pedas dengan ikan pari seperti resipi yang dikongsi oleh Nor Al Fatihah.

Irar berkongsi tips bagaimana cara membersihkan lendir ikan keli atau ikan sembilang. Ikan keli tidak bersisik dan ini menjadikan ia berlendir kerana badannya yang licin. Irar berkongsi bahawa tepung gandum boleh menghilangkan lendir di badan ikan dan mengurangkan kes letupan minyak bila menggoreng ikan tersebut.

Selalunya ikan keli ini sedap digoreng bersambal seperti mana yang dikongsi oleh Hana Hana, Keli Sambal Hijau.

Ikan Temenung? 😅 Nama lain untuk ikan kembung. Ikan yang paling penting dalam penjualan ikan komersial dan ikan serba boleh dimasak dalam pelbagai resipi. Muniroh Annuar memasak Sambal Ikan Kembung, sedap dimakan dengan nasi putih.

Di platform Cookpad Malaysia, terdapat lebih 8000 resipi ikan yang boleh anda cuba. Terpulang dengan ikan apa yang anda gemar dan cara masakan yang sesuai, Everyone Can Cook Fish. Itulah tema masakan komuniti Cookpad Malaysia bagi bulan Jun ini. Cookpaders digalakkan untuk berkongsi resipi ikan, kisah memasak ikan di dapur dan tips untuk mengenali ikan dan proses siang ikan sama ada di Cookpad Malaysia dan juga group Facebook Cookpad Malaysia Community kami. Jom masak Ikan! 🐟
Tinggalkan Jawapan